Bismillahirrahmanirrahim.............................
Tersentak dengan bacaan, yakni kata-kata yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali r.a:
“Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga.”
Teringat pula kata-kata Imam Ghazali:
“Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekan.”
"Ya,3 hari lepas (16 Ogos ) ulang tahun kelahiranku. Sudah lebih suku abad aku
bernaung di bawah langit-Mu ya Allah. Belum pun aku terasa menjadi
hamba-Mu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya
aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika saja. Aku
tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur,
hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan
sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi… semakin
hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku
ketika menerima ucapan selamat hari jadi… selamat pulakah hari matiku? Aku belum bersedia untuk bertemu-Mu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu."
"Ya,
Allah… segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Kau yang Maha tahu apa yang
terbaik untukku. Aku merayu pada-Mu ya Allah, pada tarikh ini. Untuk
mengemis keampunan-Mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang
tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak
akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku
diterima?"
"Ya, Allah di hari ini, kupinta dileraikan kusut fikiranku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gejolak hati ini."
"Wahai
yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggiran
rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah
mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah
ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang
sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah ini? Terasa diri
bersalin dua, tiga dan… Ya, Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang
menipu-daya ini. Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik
walau taqwanya melimpah. Bukan juga Umar Al Khattab, yang tegar memukul
diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiahtul Adawiyah
yang sentiasa berkata: “Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu
istighfar lagi.” Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa… Hatiku keras
yang amat. Kucuba menangis dengan merasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku
tidak mahu menangis kerana gagal menangis."
"Ya
Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi
‘hati’ yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati ya Allah. Aku
kembara telah jauh. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat,
diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru,
mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan ‘dilahirkan’ semula. Lahir
sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara
kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai.
Harap-harap, minta-minta diampuni."
Buat
sahabat, teman dan kenalan… terima kasih atas ingatan kalian. Pada yang
jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana
tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini, (mungkin ini
pun masih dari terowong jiwaku yang gelap gelita.)…
“Marilah
kita hidup… seperti orang yang menanti mati kerana ingat mati itu… akan
mengecilkan segala derita akan mencairkan segala alpa kiranya inilah
detik terakhir
marilah kita mulakan semula walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma…
itu lebih bermakna!”
marilah kita mulakan semula walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma…
itu lebih bermakna!”
Ah,
kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu di tempat yang kita
kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada
suatu permulaan yang lebih baik. Ah, teringat ungkapan dalam bahasa
Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu: “In
life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning… “
Mudah-mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin ya, Allah!