CINTA sejati tidak memusnahkan diri kekasih yang dicintai,
malah ia menjaga supaya si dia tetap suci dan selamat sebagaimana sucinya cinta
itu sendiri.
Untuk itu, apabila cinta memilih untuk singgah di hati seseorang, lalu akan
berasa betapa bahagianya diri untuk merasai nikmat cinta anugerah Ilahi.
Siapakah yang tidak pernah dicintai? Mungkin belum ditemukan dengan orang yang
selayaknya untuk dicintai, namun perasaan itu memang wujud dalam kalangan semua
insan. Hanya mereka yang pernah merasai dan melalui pengalaman cinta akan
merasakan keindahannya.
Namun, bagi yang belum merasakannya, masa itu akan datang juga. Malah, hanya
masa dan ketentuan yang bakal meletakkan rupa, perasaan dan khayalan sebelum
menemui hakikat sebenar percintaan, seterusnya disatukan di alam yang penuh
keindahan.
Bagi yang merasai keindahan cinta sehingga bertemu jodoh, bersatu diri dalam
mahligai yang penuh keindahan. Pun begitu, tidak kurang juga yang diuji dengan
pelbagai cubaan bagi meneguhkan kembali kekuatan cinta.
Perkara berikut mungkin dapat membantu mengukuhkan lagi perasaan anda dan
pasangan apabila dua jiwa menjadi satu. Bagi yang bergelar isteri atau ibu,
hayatinya untuk menjadi isteri yang didambakan dalam keluarga Islam.
- Letakkan dalam jiwa peranan besar dalam kehidupan keluarga. Tindak-tanduk, kebijaksanaan dan sifat selalu mengingati Allah boleh menjadikan rumah sebagai syurga yang diidamkan suami dan anak. Mereka berasa tenang setelah penat di luar rumah.
- Laksanakan tanggungjawab dan peranannya yang asasi dalam mendidik anak dan memelihara mereka kerana ibu perlu lebih banyak bergaul dengan anak.
Bahkan, mereka juga sangat berhajat kepada ibu terutama pada peringkat membina
keperibadian dan perkembangan diri.
Antara ibu dan bapa, hendaklah ada persefahaman dalam mendidik anak supaya
kedua-duanya saling menyempurnakan antara satu sama lain dengan tidak ada
percanggahan.
Kasih sayang ibu terhadap anak jika tidak kena caranya, mungkin boleh
memporak-perandakan keharmonian keluarga.
- Isteri contoh juga hendaklah mengetahui dengan teliti kewajipannya terhadap suami dan hak suami terhadap isteri yang mesti dilaksanakan sebagai beribadah kepada Allah dan mengharapkan pahala-Nya.
Hendaklah dia menjaga perasaan, bersimpati atas kesusahannya dan menjaga rakannya. Selain itu, bekerjasama dengan suami terutama dalam mendidik anak dan menjaga silaturahim.
- Beri semangat kepada suami supaya dia menjalankan kewajipan terhadap agamanya seperti beramal, berjihad dan berkorban.
- Isteri hendaklah pandai memilih kenalannya dalam kalangan wanita yang solehah. Dia juga harus berperanan mengajar dan mengingatkan adab Islam. Dirinya sendiri dijadikan contoh kepada yang lain.
- Alangkah baik jika isteri contoh bukan saja menjaga perkara halal dalam urusan rumah tangga seperti makanan, minuman, pakaian, kelengkapan rumah serta adat, malah, dia juga dapat menjaga daripada yang haram serta syubhat.
Rumahnya pula dijadikan contoh dari segi kebersihan dan kekemasan untuk
membiasakan anak dengan keadaan demikian.
- Adab dan doa
seharusnya dijadikan amalan seharian dalam perkara seperti makan, minum, tidur,
memberi salam, meminta izin, melihat perempuan dan seumpamanya.
- Isteri (dan juga suami) hendaklah mengambil berat untuk menghidupkan hari kebesaran Islam serta ditanamkan rasa kasih terhadap hari berkenaan seperti Ramadan.