Cinta Anugerah Istimewa Allah.............

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Sunday, January 31, 2010

Cinta Ibarat Air..............

MUDAHKAH anda membuka pintu hati kepada seseorang, tetapi teramat sukar untuk menutup kembali pintu hati kepadanya?

Tidak dinafikan apabila perasaan cinta sudah bermukim di hati, anda terasa betapa indahnya dunia.

Lebih indah lagi apabila segalanya terbuai kerana mencintai seseorang yang anda amat suka walaupun dia tidak membalasnya.

Namun, pengalaman pernah menyayangi seseorang, tetapi akhirnya dilukai membuatkan bencinya hati apabila hendak menerima kehadiran orang baru.

Begitu juga sebaliknya, seseorang yang begitu menyintaimu, tetapi anda tidak menyukainya walau sebesar zarah pun. Fikirlah, perasaannya sama seperti perasaan anda - ingin mencintai walaupun tidak dicintai.

Hormati perasaannya, tetapi usah berikan harapan kerana terpaksa dalam cinta adalah suatu kepalsuan. Akhirnya yang merana diri anda sendiri.

Cinta ibarat air. Anda sangat memerlukannya di dalam hidup namun jika ia ibarat air di lautan, ia akan menjadi ombak yang akan membuatkan hidup anda terumbang-ambing.

Jika ia ibarat air di kutub, maka ia akan menjadi ketulan ais yang membekukan kita.

Jika ia ibarat air sungai yang mengalir tenang maka ia akan berterusan menghanyutkannya ke muara.

Sekiranya ia ibarat air terjun, lalu terhempaslah anda berulang-ulang ke bawah. Kalau ia ibarat air tasik yang tenang membiru, anda dalam diam akan menyimpan berjuta keladak di dasarnya. Lalu jenis air mana yang anda inginkan?

Carilah mata air yang suci lagi murni walaupun keluar sedikit demi sedikit, tetapi akan melimpahi perigi dan menghilangkan kehausan kita dengan sekali teguk saja.

Biarlah anda menjadi cinta terakhir kepada seseorang kerana mungkin sudah terlambat untuk menjadi cinta pertamanya, tetapi anda tidak akan pernah terlambat untuk menjadi cinta terakhirnya.

Jika anda sudah melengkapi diri untuk membina kekuatan dalam fasa perhubungan yang baru, cubalah petua berikut. Mana tahu cinta yang baru bakal memenuhi dan menyinari kekosongan jiwa, memberi kehangatan kebahagiaan buat anda selamanya.

Antara petuanya:

• Apabila si dia sibuk, jangan pula anda terlalu merengek-rengek meminta si dia menjemput anda di tempat kerja ataupun menemani anda ke mana jua sedangkan anda sudah tahu rutin kerjayanya.

• Sekiranya si dia terlalu ego, jangan sesekali mempersoalkan keegoannya apabila sikap sedemikian sedang menguasai dirinya.

Baik lelaki atau perempuan, adakalanya mereka begitu ego dan sukar mengakui sesuatu walaupun memang jelas dia yang bersalah. Mungkin dia lebih tegas, tetapi anda sukar menafsirkan sikapnya.

• Jika si dia romantik, ajaklah si dia bersiar-siar di tepi pantai ataupun makan malam di bawah cahaya lilin sambil mengenang saat manis pertemuan pertama dan jangan lupa menyelitkan perancangan untuk masa depan bersama.

• Apabila si dia panas baran, jangan membuat sesuatu yang boleh menyemarakkan lagi rasa marahnya. Cuba berdiam diri dulu sampai kemarahannya reda dan selepas itu barulah berbincang apa yang sepatutnya.

• Jika si dia penat, jangan mengadu perkara ataupun bercerita perkara remeh-temeh. Dalam saat sebegini, si dia hanya perlu rehat secukupnya dan jangan memaksa dia membuat sesuatu yang boleh menambah kepenatan bahkan berasa bosan melayani kerenah anda yang bersifat keanak-anakan.

• Sekiranya si dia terlalu mementingkan diri sendiri, cuba berterus-terang dan luahkan rasa tidak puas hati anda mengenai sikapnya itu. Anda sepatutnya bersikap terbuka dan memintanya supaya mengimbangi pendapat anda juga.

Jangan lupa untuk bertoleransi antara satu sama lain kerana persefahaman amat penting dalam menjalin perhubungan antara lelaki dengan perempuan.

• Apabila si dia mengongkong dan anda pula memberontak, pasti akan dimarahinya kerana terdorong atas rasa yang tidak menyenangkan itu.

Tetapi kalau anda menurut saja katanya, takut menjejaskan diri sendiri sehingga akan meletus sesuatu yang tidak diingini apabila timbul rasa tidak puas hati di kemudian hari.

Untuk itu, anda perlu berkata sesuatu kepadanya untuk membiarkan anda membuat keputusan sendiri asalkan tidak menjejas hubungan anda berdua.

• Apabila si dia selamba, cuba tarik perhatian si dia. Contohnya lakukan sesuatu yang boleh menarik minatnya. Orang yang selamba ini selalunya ingin kita yang mulakan dulu. Oleh itu, rancang sesuatu untuk menarik perhatiannya.

• Sekiranya si dia curang, jangan tuduh tanpa usul periksa. Jika benar si dia curang, bersemuka dan tanya padanya tujuan dia bersikap begitu. Tetapi kalau si dia tetap dengan keputusannya, eloklah anda sendiri yang berundur dulu sebelum hati semakin parah lukanya.

• Jika si dia lurus bendul, memang anda boleh mengambil kesempatan ke atas dirinya, tetapi jangan sampai memperlekehkan setiap tindak-tanduknya.

Anda patut menjadi perangsang kepadanya dan mengatakan yang dia mampu membuat keputusan sendiri tanpa terlalu mengharapkan orang lain.

Saturday, January 23, 2010

PERTUNANGAN MENGIKUT SYARIAT ISLAM....................................


Sebelum seseorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya.

Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama.

Pertama; adakah fardu ain si lelaki ´benar-benar beres´ kerana suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri apabila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan pelaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan secara berjemaah, juga mengenal pasti pekerjaan lelaki berkenaan.

Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sejahteranya sesebuah rumah tangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik, perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja sebagai syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumah tangga.

Tidak hairanlah apabila selepas berkahwin, kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya, anak-anak tidak taat kepada ibu bapa dan isteri menjadi ´Queen Control´ kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir rumah tangga menurut hukum Islam.

Ibu bapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya:

Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu reda terhadapnya, agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”

Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan sama ada mahu menerimanya ataupun tidak, cuma secara beradabnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu.

Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan sebab pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan berakhlak mulia.

Bagaimanapun, jika si anak itu mempunyai pilihan sendiri yang agak lebih baik agamanya daripada pilihan bapanya itu, bapa hendaklah menghormati hasrat anaknya itu.

Untuk mendapat keberkatan Allah, dari awal majlis peminangan lagi kita mesti menjaga adab. Keberkatan Allah ini tidak dapat hendak kita gambarkan kerana hatilah yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu dua, namun sampai ke hari tua.

Contohnya, orang pada zaman ´salafusaleh´, rumah tangga mereka berkat kerana dari awal peminangan lagi majlisnya sudah dijaga.

Namun, kalau dalam majlis peminangan itu, awal-awal lagi kita tidak dapat menjaga syariat dan adab menurut Islam, sampai akhir hayat pun mungkin rumah tangga itu nampak ´tidak cantik´, tidak bahagia. Ada saja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal di rumah dan inilah yang banyak berlaku pada hari ini.

Sebab itulah amat penting dijaga suasana majlis ini. Biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah dapat kita jaga dengan baik.

Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan peminangan dengan berbagai-bagai hantaran yang mahal-mahal. Contohnya, pakaian, makanan, buah-buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin bertunang, cincin nikah dan cincin hadiah. Memadai dengan sebentuk cincin saja.

Malah Islam tidak pernah menyusahkan penganutnya dengan cara demikian. Apabila hantaran terlalu tinggi, hilang keberkatan rumah tangga. Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan mas kahwin, juga wang hantaran ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana mas kahwin itu memang haknya. Walau bagaimanapun, sekarang ini semua negeri sudah menetapkan berapa mas kahwin untuk wanita tersebut apabila berkahwin, boleh kita terima, tetapi sekiranya wanita tersebut hendak menetapkan berapa mas kahwinnya, kita perlu hormati.

Begitulah kehendak syariat. Sebab itulah dalam soal ini, Rasulullah s.a.w memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas kahwin yang paling baik ialah yang terendah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas kahwinnya.”

Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:

Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling sedikit mas kahwinnya.”

Bersabda baginda lagi yang bermaksud:

“Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya.”

Kita patut mengetahui setengah daripada mas kahwin isteri Rasulullah s.a.w itu hanya sepuluh dirham saja; sama nilainya dengan harga batu pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji bantal di rumah baginda.

Sesetengah daripada para sahabat berkahwin dengan mas kahwin hanya seberat sebiji buah kurma (lebih kurang lima dirham).

Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak perempuannya dengan Abu Hurairah berbekalkan mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja.

Saidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali perempuan yang menaikkan mas kahwin anak gadis mereka. Katanya:

“Tiada berkahwin Rasulullah dan tiada mengahwinkan ia anaknya yang perempuan dengan isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham.”

Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan wang atau emas permata, ayat-ayat al-Quran juga boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya, ayat dalam surah Al-Fatihah atau Al-Ikhlas, tidak kiralah seberapa banyak yang dikehendaki.

Bagaimanapun, apa yang dinamakan sebagai hantaran tidak wujud dalam Islam. Hantaran itu merupakan adat yang sepatutnya sudah lama ditinggalkan. Ini adalah kerana hantaran itu sebenarnya akan digunakan oleh pihak keluarga wanita untuk persiapan majlis perkahwinan.

Jika begitu halnya, hantaran tidak patutlah diminta kepada bakal menantunya. Kecuali bakal menantu hendak memberi hantaran, boleh kita terima, inilah cantiknya ajaran Islam dan ada hikmahnya.

Pada hari pertunangan, hendaklah ia menggalakkan tunangnya agar memperkuatkan agamanya dan bersikap zuhud (bukan buang dunia, tetapi hati tidak terpaut kepada dunia). Hendaklah bersama-sama berazam di atas satu dasar hidup iaitu qanaah, memadai dengan apa yang telah ada tanpa rasa tamak.

Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu tempuh yang agak lama jaraknya dengan penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari berbagai fitnah manusia.

Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam pertunangan. Islam tidak memberikan kebebasan bergaul selepas meminang kerana menjaga maruah wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang diikat bukanlah sebagai tiket yang membolehkan seseorang lelaki itu untuk bergaul atau berdua-duaan dengan bakal isterinya.

Lelaki hanya diberi peluang melihat dan meneliti wanita itu dalam ruang yang ´aman´ daripada fitnah sosial dan kerosakan maruah. Walau bagaimanapun, pertemuan dengan tunang diharuskan sekiranya mengikut syariat.

Lelaki hanya dibolehkan melihat pada muka dan kedua-dua pergelangan tangannya sahaja dan tidak melihat bahagian aurat tunang.

Perbualan hanya sekadar menanya khabar, memberi maklumat, menerima maklumat dan memberi nasihat. Perbualan yang tidak berfaedah memadu kasih, berjanji mesra, bercinta asmara dan sebagainya sangat dilarang atau haram hukumnya.

Pergaulan yang melibatkan tunang sama ada waktu melihat atau berbual hendaklah bersama muhrimnya. Dilarang melihat tunang secara bersendiri. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kita menerusi sabda baginda yang bermaksud:

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka jangnlah sekali-kali menyendiri dengan seorang perempuan yang tidak disertai oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang ketiganya adalah syaitan.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

“Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya."


(Source: www.yadim.com.my)


Sunday, January 17, 2010

11 Tips Dalam Berpasangan....................


1. Beriman

Untuk menjadi pasangan yang lebih baik, kunci pertama adalah menguatkan iman anda sendiri. Dengan adanya pasangan yang beriman, maka pasti hubungan cinta antara kedua pasangan akan mencapai titik yang maksimum.


2. Jangan ‘minder’ dan selalu mengenang masa lalu

Janganlah bersikap minder terhadap pasangan anda. Bila anda pernah membuat suatu kesalahan dimasa lalu , jangan selalu dikenang atau diingat. Berfikirlah positif. Bila anda minder, sama saja anda mengatakan bahwa anda tidak sepadan untuk pasangan anda. Bila anda tidak percaya diri, bahwa anda adalah pasangan yang sepadan untuk dia, maka anda akan benar-benar menjadi pasangan yang tidak sepadan.


3. Romantis

Ketika suatu hubungan cinta mulai mengalami keretakan, tanda pertama yang terlihat adalah mulai berpudarnya romantisme antara pasangan. Umumnya pasangan yang akan retak melupakan bagaimana senangnya ketika pertama kali mereka menjalin hungan tersebut. Suatu hubungan cinta adalah sesuatu yang harus terus menerus dibina dan bersikap romantis dalam membina hubungan tersebut adalah mutlak.


4. Jangan membuat sesuatu hanya kerana ingin membahagiakan pasangan anda

Berapa kalikah anda pernah mengerjakan sesuatu untuk pasangan anda yang sebenarnya tidak ingin anda lakukan, tapi tetap anda lakukan kerana ingin membuat pasangan anda bahagia.. Bagaimana perasaan anda ketika mengerjakan hal tersebut? Setiap kali anda membuat kompromi atas sikap anda tersebut, anda memperlebar jurang hubungan cinta anda. Sebaiknya anda secara jujur mengatakan pada pasangan anda bahawa anda kurang senang mengerjakan hal tersebut, dan mencari alternatif lain untuk mengatasinya bersama.


5. Jangan paksa pasangan anda untuk melakukan hal-hal yang dia kurang senangi

Ini adalah kebalikan dari tip diatas. Kalau anda tahu pasangan anda kurang senang melakukan sesuatu hal, mengapa dipaksakan… ..??


6. Jangan merendahkan pasangan anda

Tidak ada manusia yang sempurna didunia ini. Masing2 mempunyai daya fikir, kerja dan daya tahan tersendiri. Bila anda selalu merendahkan pasangan anda dengan menyalahkan apa saja yang dia salah lakukan, bagaimana anda akan berharap dia akan berbuat benar?


7. Jangan memberi janji yang anda tidak mampu penuhi

Kepercayaan adalah hal penting pada suatu hubungan cinta. Kepercayaan harus dibina dan dikembangkan. Bila anda tidak memenuhi janji anda pada pasangan anda, bagaimana pasangan anda akan percaya pada anda pada masa yang akan datang?


8. Usahakan untuk selalu berada disisinya

Pasangan anda merupakan teman anda untuk seumur hidup… .Usahakan untuk berada disisinya baik dalam suka maupun duka… .


9. Komunikasi

Dunia berubah dari hari ke hari. Bila anda tidak terus menerus berkomunikasi dengan pasangan anda, anda akan terkejut apabila pada suatu hari anda baru menyadari bahwa jurang perbezaan antara anda berdua telah semakin lebar.


10. Jangan berlaku kasar dan semena-mena terhadap pasangan anda

Cukup jelas…
Hormatilah pasangan anda sebagaimana anda menghormati manusia lainnya. Jangan sampai anda lebih menghormati teman anda daripada menghormati pasangan anda.


11. Jujurlah selalu

Biasanya suatu hubungan cinta tidak akan berlangsung lama apabila dibangun dan didasari atas kebohongan. Walaupun pasangan anda tidak pernah mengetahui kebohongan yan tersimpan, tetapi fakta bahwa anda mengetahui kebohongan itu, akan mempengaruhi perasaan anda maupun pasangan anda. Dengan itu, hubungan cinta tak akan mencapai titik yang maksimum.

Sunday, January 10, 2010

FOX 40..................

STADIUM Old Trafford bergegar dengan sorakan penonton tatkala bola rembatan Dimitar Berbatov diselamatkan penjaga gol Kenyir Bersatu - R. Arumugam. Alex Ferguson bangkit dari tempat duduk. Dengan lantang dia memaki hamun pengadil terkenal EPL - Mark Clattenberg.

Puluhan ribu manusia yang berbaju merah menyokongnya sambil mengacah-acah tangan dengan ganas ke arah penyokong pasukan lawan yang berbaju kuning emas.

Lelaki yang mendapat gelaran Sir daripada Ratu England itu mendakwa penjaga gol Kenyir Bersatu menampan bola di luar kota penalti sambil kakinya mencangkuk betis Dimitar Berbatov yang sudahpun berada dalam kawasan itu. Alex Ferguson mahu Red Devils diberi sepakan penalti dan R. Arumugam dikenakan kad merah. Bantahan Alex Ferguson langsung tidak diendahkan pengadil yang berdiri hanya kira-kira empat meter dari kawasan insiden dan nampak apa yang berlaku dengan jelas.

Lelaki yang terkenal sebagai pembuli pengadil itu kembali ke tempat duduk dengan muka merah padam sambil mengunyah gula-gula getah. Dia bimbang satu lagi keputusan upset berlaku dan Red Devils pasukan terbaru yang menjadi mangsa Kenyir Bersatu. Tewas kepada pasukan kerdil dari benua Asia sudah tentu akan mencalarkan reputasinya.
Perlawanan akhir bola sepak Juara Kelab Dunia Impian baru saja melewati minit ke-7.

Kedudukan masih 0-0. Statistik perlawanan menunjukkan bahawa Kenyir Bersatu sedikit di depan dari segi penguasaan bola. Bersama-sama Bakri Ibni, Shukor Salleh yang berasal dari Pulau Mutiara dapat menggerakkan bahagian tengah dengan baik. Di bahagian pertahanan, berdiri dengan kukuh Soh Chin Aun dan rakan-rakannya termasuklah Santokh Singh.

Kenyir Bersatu menggunakan formasi 4-2-4. Bahagian serangan dibarisi oleh striker kembar - Abdul Ghani Minhad dan Mokhtar Dahari. Beberapa kali Mokhtar yang mendapat jolokan Supermokh dan bertubuh sasa itu berjaya memperdayakan Rio Ferdinand sebelum melepaskan rembatan padu namun Edwin Van De Sar masih kebal di gawangnya.

Red Devils pula tidak berkurangan bisanya. Biarpun tanpa kelibat Christiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid, pasukan itu tetap hebat. Wayne Rooney, Ryan Giggs dan Paul Scholes kerap kali mencemaskan kubu Juara Kelab Asia Impian yang berasal dari Malaysia.

Azharuddin duduk di bangku pengadil; menunggu giliran untuk mengadili perlawanan pada babak kedua. Masa masih lagi panjang namun dia sudah pun bersedia sepenuhnya.

Peraturan perlawanan akhir kejohanan itu sememangnya unik. Dua pengadil iaitu seorang dari setiap negara bagi pasukan atau kelab yang terbabit, diwajibkan bertugas. Tiada had usia. Pengadil dipilih secara merit. Hal ini cukup menguji kemantapan keadilan kedua-dua pengadil. Sentimen bangsa dan negara diketepikan.

Azharuddin akur akan perkara itu. Kini dia memerhatikan gelagat Alex Ferguson. Pengurus Manchester United itu berterusan memperlekeh Mark Clattenberg yang sedaya upaya mengawal perlawanan. Tidak berubah juga perangai lelaki itu, fikir Azharuddin.

Beberapa bulan yang lalu Alex Ferguson mencerca Alan Wiley ketika Red Devils diikat Sunderland dengan jaringan 2-2 dalam perlawanan liga EPL pada 3 Oktober lalu. Dia mendakwa pengadil EPL itu kurang cergas dan hanya berjalan pada penghujung perlawanan.

Separuh masa kedua nanti dia akan mendapat pengajaran yang amat berguna kalau dia berterusan kurang ajar,” bisik Azharuddin kepada Daniel, 10 tahun, yang juga rakan sekelasnya di SK Tengku Ampuan Intan, sebuah sekolah pinggir bandar di Hulu Terengganu. Malam ini Daniel bertindak sebagai pembawa beg pengadil cilik dari Malaysia itu.

Mereka berada di bangku khas tidak jauh dari tempat duduk kedua-dua pasukan yang sedang beradu kehandalan. Azharuddin meneguk air galian daripada botol kecil seketika.

“Beranikah kau?" Daniel menarik zip baju sejuknya.
“Tak perlu sangsi. Kau lihat saja nanti.”
“Okey, aku setuju. Aku percaya…”
“Bagus!"
“Kau perlu tegas dan adil nanti,”
kata Daniel memberi motivasi.
“Mesti! Bukan berdendam, tapi aku perlu mengubah mentaliti orang macam dia. Kita sudah terlalu lama membiarkan pengadil bola sepak dibuli dengan teruk. Sudah terlalu lama pengadil dijadikan kambing hitam. Apa-apa sahaja malang yang menimpa pasukan mereka di padang, pengadillah puncanya. Itu perlu diperbetul,” balas Azharuddin bersemangat.
“Betul tu… Dilihat dari aspek world viewnya terhadap pengadil, orang macam Fergie tak boleh dibiarkan menjadi perkasa,”
kata Daniel sambil fikirannya singgah pada isu konflik Alex Ferguson dengan Persatuan Bola Sepak England.
“Itu sebabnya aku bersetuju dengan Pengerusi Persatuan Sukan dan Undang-Undang Britain - Mel Goldberg, bahawa Wiley mempunyai alasan yang kukuh untuk mengheret Fergie ke muka pengadilan atas tuduhan fitnah,”
balas Azharuddin.

Bergegar
Belum sempat Daniel berkata apa-apa kepada Azharuddin, Stadium Old Trafford tiba-tiba bergegar. Patrice Evra yang berasal dari Perancis melakukan sepakan akrobatik bagi meletakkan Red Devils satu gol di depan lawannya setelah teruk menyerap asakan lawan.

Seperti selalunya, Alex Ferguson melonjak dengan tangan tergenggam bagi meraikan jaringan. Perlawanan menjadi kian berbahang. Suara teriakan dan nyanyian bersemangat para penyokong Red Devils menenggelamkan sokongan pasukan berjersi kuning emas.

Azharuddin tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Sekarang dia menjadi manusia yang berkecuali. Buat seketika ini, dia tidak boleh menyokong Kenyir Bersatu. Dia pengadil yang beretika dan tindakannya mestilah profesional dalam semua aspek sama ada sebelum, ketika, mahu pun sesudah bertugas.

Perlawanan memasuki minit ke-43. Red Devils bertahan dengan hebat. Mereka masih mampu mengekalkan kelebihan satu gol biarpun diasak bertubi-tubi oleh rangkaian serangan dan jentera midfield Kenyir Bersatu dari segenap arah.
Pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil tiga hari lalu kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol. Keputusan seri tanpa jaringan langsung tidak diduga para peminat bola sepak seluruh dunia kerana jurang antara dua pasukan itu amat luas.

Sekarang Alex Ferguson boleh bernafas buat seketika tetapi seandainya pasukan berjersi kuning emas menjaring satu gol dan perlawanan berakhir begitu, Kenyir Bersatu akan menjulang piala. Tewas dengan kiraan kelebihan jaringan di tempat lawan sudah tentu amat memeritkan mana-mana pasukan apatah lagi sebuah kelab gergasi dunia seperti Red Devils.

Fox 40 bersuara nyaring. Penyokong Red Devils bangun serentak lalu bersorak tanda kelegaan. Mereka menyambut tiupan wisel Mark Clattenberg dengan satu kepuasan; paling tidak, untuk tempoh 45 minit yang pertama. Mereka menanti baki 45 minit seterusnya.

Pemain kedua-dua pasukan meninggalkan padang menuju bilik persalinan. Mereka akan membincangkan strategi permainan separuh masa kedua.

Dari tengah padang, Mark Clattenberg diiring dua pembantu pengadil. Dia mengesat peluh di mukanya sambil membawa bola ke arah bangku pegawai perlawanan.

Azharuddin bangun ke tepi garisan padang sebagai tanda hormat kepada pengadil berpengalaman itu. Mark Clattenberg menyerahkan bola kepada Azharuddin selepas mereka bersalaman. Sambil menyerahkan wiselnya kepada Azharuddin, lelaki budiman itu berkata dalam bahasa Melayu dengan fasih dan bertatabahasa;

Ini untuk simpanan saudara, pengadil cilik dari Malaysia.”
“Terima kasih,” kata Azharuddin, menyambut Fox 40 daripada tangan lelaki itu lalu memasukannya ke dalam saku seluarnya yang berzip kukuh.

Bersorak
Penonton kedua-dua pasukan bersorak dengan gamat.
“Di Barat, bakat seperti anda sangat dihargai. Di negara anda sendiri bagaimana?”
“Semakin dihargai…”
“Bagus! Kembangkan bakat anda. Jangan tunduk kepada tekanan. Buktikan bahawa pengadil kecil seperti anda mampu mengawal satu perlawanan berkelas dunia seperti malam ini. Jangan mengalah kepada sesiapapun. Buat keputusan atas paksi keadilan. Ingat tu,” kata Mark Clattenberg lagi sebelum berlalu ke bilik persalinan.

Waktu rehat berakhir. Semua pemain kedua-dua pasukan sudah berada di padang dan mengambil posisi masing-masing. Sorakan penonton kedua-dua belah pasukan kian gamat dan menggegarkan Stadium Old Trafford seperti sorakan di medan perang.

Azharuddin meletakkan Fox 40 ke bibirnya. Dia cukup sedar bahawa baki perlawanan cukup menguji kewibawaannya sebagai pengadil muda yang berasal dari sebuah negara Asia Tenggara. Dia akan berdepan dengan cabaran yang cukup besar tapi dia yakin melakukannya.

“Priiit!”

Bola bergolek. Kenyir Bersatu melancarkan serangan. Baki 45 minit akan menentukan nasib mereka. Abdah Aliff yang menggantikan Bakri Ibni lincah seperti lipas kudung. Bola diumpan kepada Shukor Salleh. Shukor melebarkan hantaran ke sebelah kanan. Belum sempat bola sampai ke kaki Abdullah Ali, Wayne Rooney menyambarnya lalu menyerbu ke kawasan lawan. Pergerakan mereka pantas tetapi Santokh Singh lebih awal bersedia.

Masa berlalu pantas dan perlawanan kian rancak. Red Devils memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti. Alex Ferguson menyepak botol air mineral ke dalam padang. Dia mendakwa kekasaran ke atas Dimitar Berbatov berlaku dalam kawasan penalti.

Azharuddin menoleh ke arah pengurus Red Devils. Sekali lagi, kau buat perangai, kau akan pungut kad merah, bisik hati kecilnya.

Sepakan percuma yang diambil Ryan Giggs sipi di sebelah kiri gawang lawan. Kenyir Bersatu pula melancarkan serangan. Sepakan gol oleh R. Arumugam sampai ke kaki Jamal Nasir. Bola dihantar kepada Ghani Minhad yang kemudiannya menggelecek empat pemain lawan. Di sebelah kirinya menunggu Supermokh sebaris dengan Rio Ferdinand.

Ghani menunggu Supermokh berundur sedikit. Sebaik saja rakannya beraksi seperti yang dimahukannya, Ghani menolak bola. Gerakan 1-2 berlaku. Ghani menyerbu hantaran balas Supermokh dengan satu gerakan yang memperdayakan pertahanan Red Devils itu. Bola ditolak ke sudut gawang. Penyokong kuning emas bangkit. Alex Ferguson menyerbu ke arah pengadil keempat dan membantah hingga beberapa meter ke tengah padang.
Azharuddin meletakkan wisel ke mulutnya.

“Priiit!"

Azharuddin terduduk. Suasana hingar-bingar hilang tiba-tiba. Baru dia sedar bahawa dia berada di sofa di rumahnya. Di muka pintu kelihatan ayahnya berdiri dengan lemah dalam pakaian seorang pengadil bola sepak.

“Mujur kau dengar cakap ayah dan tak ikut ke padang. Teruk ayah dan dua penjaga garisan kena kejar tadi,” kata ayahnya sambil memujuk Azharuddin yang belum kering air mata kerana merajuk tidak diajak ayahnya ke Padang Astaka Kuala Berang.
“Bergaduh lagi pasukan yang abang adili?” tanya ibu Azharuddin dari dapur.
“Ya! Perlawanan di padang yang satu lagi pun macam tu”
“Berhentilah menjadi pengadil bola sepak kalau macam tu, bang!”
“Jangan! Saya bercakap dengan Mark Clattenberg tadi. Dia kata, pengadil kena tabah. Tak boleh tunduk kepada tekanan,” kata Azharuddin sambil teringat pesanan lelaki Inggeris kepadanya dalam mimpinya sebentar tadi.
“Mark Clattenberg?” Ayah Azharuddin hairan. Dia ingat-ingat lupa siapa lelaki itu.
“Ya, kami bercakap di Old Trafford tadi. Ini wisel yang dia beri kepada saya,” balas kanak-kanak itu sambil menunjukkan wisel Fox 40 kepada ibunya.

Ibu dan ayah Azharuddin terpinga-pinga!

Saturday, January 9, 2010

Takut hanya kepada Allah


Bismillahirrahminrrahim...................................

AL-MARAGHI berkata: Kesempatan ini diterangkan motivasi yang dapat merangsang jihad pada jalan Allah SWT. Disebutkan bahawa orang yang mati syahid pada jalan Allah adalah mereka yang masih hidup di sisi Tuhan-Nya dengan dikurniakan keistimewaan, kemuliaan, rezeki yang terbaik, dan ditempatkan pula pada tingkat yang paling menyenangkan.

Ayat ke-173

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya segala urusan kami)".

Allah melihat apa yang kita lakukan waima di dalam gua sekali pun.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Mujahid, Muqatil, Ikrimah dan al-Kali berkata: Orang yang berkata dalam ayat ini ialah Nu'im bin Mas'ud al-Asyjai. Lafaznya am tetapi maknanya khusus.

ii. Al-Qurtubi berkata: Allah menambahkan iman mereka kebenaran dan keyakinan pada agama mereka. Begitu juga dengan kekuatan dan keberanian.

iii. Al-Maraghi berkata: Ucapan yang menakutkan itu sebaliknya telah menambahkan lagi keyakinan mereka terhadap Allah SWT dan mereka tidak akan lari kerana berasa takut.

Bahkan tekad mereka semakin memuncak untuk memerangi kaum kafir dan mentaati Rasulullah SAW dalam segala perintah dan larangan-Nya.

Ternyata ucapan yang diharapkan melemahkan semangat mereka itu sebaliknya telah menambah kesedaran mereka mengenai keagungan Allah SWT dan kekuasaan-Nya, serta keyakinan mereka terhadap janji dan ancaman Allah SWT.

iv. Al-Sonhaji berkata: Kata-kata yang diucapkan oleh musuh dengan tujuan untuk melemahkan pendirian orang-orang Islam, sebenarnya telah menambahkan lagi keimanan mereka.

Apalagi jika mereka meyakini yang sebenar-benarnya, bahawa Allah cukup menjadi pemelihara dan pemimpin kepada orang-orang mukmin dan Dialah sebaik-aik pemimpin

Ayat ke-174

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar."

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: Ketika mereka benar-benar bertawakal kepada Allah SWT, maka mereka pun diberikan berbagai ujian yang membuat mereka gelisah dan dihindarkan dari serangan orang yang menipunya, sehingga mereka kembali ke negerinya sendiri.

ii. Ibn Jarir meriwayatkan daripada al-Suddi katanya: Rasulullah SAW ketika keluar ke Badar kecil, telah memberi beberapa dirham kepada para sahabat. Lalu mereka membeli pada musim itu juga. Kemudian dijual sehingga mendapat keuntungan yang banyak sekali.

iii. Al-Maraghi berkata: Mereka mematuhi setiap perkataan atau perbuatan yang diredai oleh Allah SWT.

Melalui keredaan Allah SWT inilah mereka memperoleh kemenangan dan keuntungan di dunia dan juga akhirat. Oleh yang demikian, taatilah Rasulullah SAW dalam segala bentuk perintah dan larangannya.

iv. Mujahid dan as-Suddi berkata: kurnia yang besar itu, ialah pertama kesihatan badan, tidak kurang suatu apa; kedua tidak jadi berperang, kerana musuh tidak bertemu; ketiga mendapat keuntungan berniaga yang berlipat ganda; dan di atas semua itu ialah teguhnya iman dan gembira hati di dalam memperjuangkan agama Allah.

Ayat ke-175

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang-orang yang beriman."

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: Syaitan itu menakut-nakutkan manusia serta menanamkan perasaan pada diri manusia bahawa mereka memiliki kekuatan dan pengaruh.

ii. Al-Qurtubi berkata: Ayat ini kembali kepada Auliya Allah yang sentiasa takut kepada-Nya. Mereka tidaklah takut kematian tetapi apa yang berlaku selepas kematian

iii. Al-Maraghi berkata, ayat ini mengandungi beberapa pengajaran:

l Iman sejati tidak akan menjadikan seseorang itu pengecut. Keberanian adalah watak sebenar seseorang mukmin. Tidak akan ada orang lain yang mampu menandingi keberaniannya. Sebab si pengecut itu hanyalah kerana perasaan takut mati dan cinta terhadap kehidupan.

Dalam hati seorang mukmin tidak akan mempedulikan kedua-duanya. Dunia pada hari ini sering menyaksikan keberanian tentera Islam, walaupun umat Islam telah mengalami kelemahan iman dan kejahilan dalam urusan agama.

l Setiap orang sebenarnya mampu mengatasi punca yang mendatangkan perasaan takut dan melatih dirinya menjauhkan darinya melalui latihan pendidikan dan membiasakan diri dengan perkara yang menakutkan.

l Jika menghadapi situasi hal yang menakutkan, janganlah kamu menyimpannya selama-lamanya sehingga perasaan takut ini mempengaruhi jiwanya serta mengkhayalkannya secara berterusan.

Sebaliknya, bayangan ketakutan ini hendaklah dibuang jauh dari ingatan dan hendaklah menyibukkan diri dengan hal-hal yang lain bagi mengatasi perasaan sedemikian.

iv. Hamka berkata: maksud kata-kata Nu'aim bin Mas'ud dan Nu'aim itu sebagai syaitan yang mempertakuti. Nescaya yang dapat ditakutinya itu tidak lain daripada orang yang percaya kepadanya.

Orang yang percaya kepada rayuan syaitan nescaya pengikutnya manakala orang yang beriman tidak dapat dipengaruhi syaitan lantaran beriman kepada Allah. Percaya bahawa pertolongan Allah pasti datang kepada orang yang benar-benar percaya kepada-Nya.

Rasulullah SAW menyatakan dengan tegas, beliau mesti pergi menghadapi Abu Sufyan dengan tenteranya walaupun akan pergi sendirian berbekalkan keimanan kepada Allah yang kuat.

Semoga kita mempunyai iman yang sejati dan bukan yang pengecut kerana keberanian adalah watak sebenar orang yang beriman.