Cinta Anugerah Istimewa Allah.............

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, August 19, 2014

Catatan Hati di Harijadi...


Bismillahirrahmanirrahim.............................

Tersentak dengan bacaan, yakni kata-kata yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali r.a: 

“Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga.” 

Teringat pula kata-kata Imam Ghazali: 

“Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekan.”

"Ya,3 hari lepas  (16 Ogos ) ulang tahun kelahiranku. Sudah lebih suku abad aku bernaung di bawah langit-Mu ya Allah. Belum pun aku terasa menjadi hamba-Mu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika saja. Aku tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi… semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi… selamat pulakah hari matiku? Aku belum bersedia untuk bertemu-Mu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu." 

"Ya, Allah… segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Kau yang Maha tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayu pada-Mu ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunan-Mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?"

"Ya, Allah di hari ini, kupinta dileraikan kusut fikiranku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gejolak hati ini."

"Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah ini? Terasa diri bersalin dua, tiga dan… Ya, Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang menipu-daya ini. Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau taqwanya melimpah. Bukan juga Umar Al Khattab, yang tegar memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiahtul Adawiyah yang sentiasa berkata: “Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi.” Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa… Hatiku keras yang amat. Kucuba menangis dengan merasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis."

"Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi ‘hati’ yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati ya Allah. Aku kembara telah jauh. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan ‘dilahirkan’ semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap-harap, minta-minta diampuni."

Buat sahabat, teman dan kenalan… terima kasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini, (mungkin ini pun masih dari terowong jiwaku yang gelap gelita.)…

“Marilah kita hidup… seperti orang yang menanti mati kerana ingat mati itu… akan mengecilkan segala derita akan mencairkan segala alpa kiranya inilah detik terakhir
marilah kita mulakan semula walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma…
itu lebih bermakna!”

Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu di tempat yang kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Ah, teringat ungkapan dalam bahasa Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu: “In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning… “
Mudah-mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin ya, Allah!

No comments: